Wednesday, 2 March 2011

TUMBUHAN HERBA SEBAGAI UBATAN

Tumbuhan adalah merupakan rahmat Allah s.w.t yang tidak ternilai kepada manusia. Bukan sahaja sebagai bahan makanan sehari – hari, bahkan untuk kegunaan berbagai bidang kehidupan mereka. Termasuklah bidang perubatan, menyembuh dan membasmi berbagai jenis penyakit.
Sejak dari zaman purba lagi manusia sudah menggunakan tumbuhan herba untuk kegunaan lain selain makanan. Mereka sudah dapat memastikan dan membezakan diantara tumbuhan yang boleh dimakan dengan tumbuhan yang mengandungi racun yang boleh memudaratkan.
Mereka mempelajari tentang tumbuhan dengan melihat , jika haiwan mereka makan tumbuhan itu.itu bermaksud ianya tidak beracun. Terutama apabila melihat binatang itu tidak sihat. Maka mereka dapat pula pengetahuan mengenali jenis tumbuh – tumbuhan yang berkhasiat. Lalu disesuaikan dengan pengalaman mereka sendiri untuk dijadikan bahan perubatan. Demikianlah manusia sejak zaman berzaman sudah mempunyai kesanggupan mengubat, menyembuhkan berbagai jenis penyakit dengan menggunakan beberapa jenis tumbuh – tumbuhan.
Khasiat beberapa jenis tumbuh – tumbuhan tertentu yang pada mulanya hanya diketahui oleh kaum peribumi setempat itu sahaja, rupa – rupanya telah membawa rahmat kepada umat manusia serta dunia, sama ada untuk menyembuhkan penyakit tertentu ataupun dalam sesuatu bidang perubatan. Misalnya, pokok chichona, yang berasal dari Peru itu, setelah diproses oleh pakar – pakar perubatan moden telah menghasilkan quinine, ubat mujarab untuk menyembuhkan penyakit malaria. Daun – daun dari pokok koka, setelah diproses mengasilkan kokain, iaitu ubat pelali atau bius. Sementara opium yang diproses dari bunga popi, menjadi bahan ubatan untuk mengubati beberapa jenis penyakit dan tidak terkecuali dalam perubatan Melayu tradisional.
Menyentuh perkara tumbuhan sebagai bahan ubat – ubatan ini, maka kepulauan Melayu ini bolehlah disifatkan sebagai gedung ubat yang amat besar. Segenap hutan belukar, bukit bakau, lembah, paya, sawah, padang, kampung dusun, bahkan di kawasan kediaman sendiri terdapat tumbuhan yang berbagai jenisnya. Oleh yang demikian seperti juga peribumi di bahagian – bahagian lain di muka bumi ini, orang Melayu sudah mengetahui akan khasiat tumbuh – tumbuhan yang terdapat di sekitar mereka. Maka dari pengetahuan inilah terbitnya gelaran – gelaran dukun, bomoh, pawang dan sebagainya.
Kebiasaannya cara ubatan tradisional Melayu menggunakan beberapa jenis tumbuh – tumbuhan herba dalam merawat sesuatu jenis penyakit. Dimana tumbuh – tumbuhan herba ini akan dicampurkan bersama – sama mengikut cara – cara yang tertentu. Sama ada dengan cara memasak kesemua tumbuhan tersebut ataupun dengan mengilingnya dan berbagai cara lagi.

No comments:

Post a Comment